Fadillah: Kerja pembinaan diteruskan dengan SOP diperketatkan

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 24 Mei: Penggiat industri pembinaan digesa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pembinaan terkini bagi mengawal penularan virus Covid-19.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengelakkan penularan yang lebih luas yang mungkin akan menjejaskan kesinambungan sektor pembinaan.

“Biarpun kerajaan telah membuat keputusan supaya semua kerja-kerja pembinaan boleh diteruskan, namun SOP perlu dipatuhi dengan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Fadillah, statistik Majlis Keselamatan Negara (MKN) menunjukkan dari 12-30 April terdapat 709 kes Covid-19 di tapak pembinaan dari 25 kluster.

Manakala dari 1-19 Mei, jumlah kes tersebut meningkat kepada 880 kes dari 52 kluster.


Dalam pada itu, beliau berkata, sejak 13 Januari sehingga 23 Mei, CIDB Malaysia telah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,532 tapak pembinaan.

“Hasilnya kita mendapati sebanyak 2,502 tapak pembinaan mematuhi SOP dan dua tapak pembinaan yang tidak patuh SOP dan telah diarahkan tutup.

“Saya telah mengarahkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan malaysia (CIDB) untuk mempertingkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan SOP di tapak bina dan juga penempatan pekerja binaan.

“CIDB mempunyai kuasa untuk menutup tapak pembinaan dan juga mengenakan kompaun kepada tapak-tapak pembinaan yang didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan atau melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta 520 dan Akta 446,”ujar beliau.

Tambah Fadillah lagi, CIDB juga mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan tatatertib kepada mana-mana kontraktor yang di dapati bersalah yang akan mengakibatkan pendaftaran mereka di gantung atau dibatalkan. — DayakDaily