Oleh Chris Bishop
KUCHING, 22 Mei: Kerajaan yakin Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak siap pada hujung tahun ini, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, katanya, pihak pemaju telah melaksanakan kerja mengikut jadual yang telah dipinda.
“Keseluruhannya terdapat empat pakej kerja sudah siap iaitu jajaran Telok Melano-Sematan, Nyabau, Serian-Balai Ringin dan Julau.
“Pakej kerja yang selebihnya akan siap pada hujung tahun ini, kita harap,” katanya dalam satu sidang media selesai merasmikan Pembukaan Jejambat Batu 10 Seksyen Kuching Serian Road (KSR) di sini, hari ini.
Tambah Fadillah yang juga MP Petra Jaya, mungkin ada satu atau dua pakej kerja yang akan dibawa ke tahun hadapan berikutan mengalami sedikit kelewatan.
Katanya, kelewatan adalah akibat cabaran dari pandemik Covid-19 serta kenaikan harga bahan binaan dan minyak (diesel).
Di samping itu, ujar beliau, kekurangan tenaga kerja juga memberi impak terhadap kelancaran kerja-kerja di lapangan.
“Pekerja asing belum lagi masuk khususnya dari Indonesia, dan pada masa ini kita tidak menerima pekerja dari Bangladesh,” ujar Fadillah
Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja dengan jajaran sepanjang 786km bermula dari Telok Melano ke Miri dimulakan pada Oktober 2015.
Pada sidang media yang sama, Fadillah sekali lagi memaklumkan bahawa cadangan pelaksanaan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dan projek Lebuh Raya Trans Borneo telah mendapat kelulusan secara prinsip oleh mesyuarat Kabinet.
Projek SSLR Fasa 2 melibatkan tiga pakej dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sepanjang 326km.
Manakala bagi cadangan projek Lebuh Raya Trans Borneo, ia melibatkan tiga seksyen dengan jumlah keseluruhan jajaran lebih kurang 96.35km. — DayakDaily