Fadillah: Cadangan Sarawak tidak diambil kira punca GPS tidak mengundi

Dato Sri Fadillah Yusof
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 10: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan kerana pindaan tersebut tidak mengambil kira cadangan kerajaan negeri Sarawak.

Menurut Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) langsung tidak disebut dalam perlembagaan tersebut.

Advertisement

“Walhal itulah asas pada penubuhan Malaysia dan oleh sebab itu kita harap perkara ini diambil kira.

“Tapi malangnya tidak dipersetujui dan kita pun sebenarnya harap sangat perkara ini diluluskan seperti yang dicadangkan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah selesai proses pengundian RUU pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat semalam.

Semasa proses pengundian, ujar Fadillah, mereka (ahli parlimen GPS) bukannya tidak memberikan sokongan tetapi hanya tidak mengundi.

“Pada dasarnya kita sokong, tetapi sokongan kita bersyarat iaitu yang pertama, pindaan ini tidak dibuat dengan terburu-buru dan dibuat setelah rundingan di peringkat jawatankuasa kabinet di mana Sarawak dan Sabah bersetuju dengan apa jua perbincangan, seterusnya pindaan dibuat secara menyeluruh.

“Kedua, rujuklah kepada jawatankuasa pemilih dan ketiga, barulah kita luluskan berdasarkan apa yang dicadangkan jawatankuasa pemilih,” tegas Fadillah.

Ujar beliau, perkara tersebut sudah kerap dibincang dengan menteri dan menyatakan hasrat untuk menyokong pindaan dengan kemasukkan MA63.

Walaupun penjelasan telah pun dibuat, tetapi Sarawak melihat dari sudut undang-undang, menurut beliau.

“Intepretasi di peringkat Persekutuan Malaysia, dalam definasi dan juga klosa perkara 1(2) itu seakan bercanggah.

“Sebab yang satu mengatakan Persekutuan Malaysia adalah negeri-negeri yang ditubuhkan atau yang menandatangani Perjanjian Malaya 1957.

“Untuk yang ini kita merujuk kepada MA63, jadi MA63 tak dinyatakan satu pun dalam perlembagaan,” katanya.

Walaupun demikian, Fadillah berharap perbincangan untuk memperbaiki perkara tersebut dapat diteruskan dengan kerajaan pusat. — DayakDaily

Advertisement