Fadillah: Blok baru SK Rakyat siap April 2022


KUCHING, 7 Nov: Pembinaan Blok Baru SK Rakyat di Jalan Bolhassan dengan kos RM1.4 juta dijangka siap pada April 2022, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.

Pada lawatan ke tapak hari ini, beliau yang juga MP Petra Jaya berkata pembinaan sedikit lewat disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semasa pandemik Covid-19.

“Boleh dikatakan 70 peratus siap dan saya berpuas hati dengan perkembangan pembinaan ini.


“Mungkin ada peruntukan tambahan diperlukan, kita akan usahakan untuk menyiapkan bangunan ini.

“Pembinaan dijangka siap pada April tahun depan, iaitu ada sedikit dibelakang jadual disebabkan PKP tetapi saya melihat kontraktor dapat menyiapkan tahun depan,” katanya.

Tambah Fadillah, pembinaan blok baru tersebut dibiayai melalui peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk ahli parlimen berjumlah RM1 juta.

Katanya, bangunan tersebut dibina menggunakan Sistem IBS dan bakal menempatkan pejabat pentadbiran, bilik serbaguna dan makmal.

“SK Rakyat ini merupakan sekolah bantuan dimana kerajaan menyediakan dari segi pentabdiran untuk membayar gaji guru-guru dan sebagainya.

“Tetapi bangunan adalah ditanggung oleh pihak sekolah, maka kita bersama-sama lembaga sekolah ini berusaha untuk membantu keperluan sekolah,’ ujar Fadillah. — DayakDaily