Fadillah: Tiada rundingan dengan PN, GPS bertanding di semua 82 kerusi

Fadillah ketika ditemui semasa lawatan ke SK Rakyat di Jalan Bolhassan di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Nov: Tiada sebarang rundingan berhubung pengagihan kerusi di antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12).

Menurut Naib Pengerusi Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fadillah Yusof, GPS sudah membuat keputusan akan meletakkan calon di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


“Berkaitan pengagihan kerusi, GPS telah mengeluarkan kenyataan bahawa kita ada 82 calon.

“Bermakna (saya tidak pasti ada rundingan) GPS sudah pasti dan membuat keputusan bahawa kita akan meletakkan 82 calon.

“Ini bermakna kita sudah mengambil semua 82 kerusi DUN,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke tapak pembinaan Blok Baru SK Rakyat di Jalan Bolhassan di sini, hari ini.

Justeru, tambah Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya, PN harus menyokong GPS pada PRN12 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Katanya, GPS sebelum ini telah memberikan sokongan penuh kepada kerajaan PN di peringkat persekutuan.

“Saya cadangkan bahawa PN harus menyokong GPS. Inilah masanya mereka harus membantu dan menyokong GPS seperti kita menyokong mereka di peringkat persekutuan.

“Kestabilan kerajaan persekutuan menunjukkan GPS menyokong PN.

“Maka saya harap kawan-kawan dari semenanjung seperti PN dan Barisan Nasional (BN) menyokong GPS,” kata Fadillah yang juga MP Petra Jaya.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah PN memiliki satu satu kerusi DUN Sarawak menerusi ADUN Krian, Datuk Ali Biju yang memenangi kerusi berkenaan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRN11.

Beliau yang juga MP Saratok bagaimanapun meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu menerusi Langkah Sheraton bersama beberapa pemimpin PKR lain. — DayakDaily