Fadillah bertekad memberi terbaik untuk penduduk Petra Jaya


KUCHING, Mei 13: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof berazam memberikan khidmat yang terbaik kepada penduduk Petra Jaya walaupun Barisan Nasional (BN) kini berada dalam blok pembangkang di Parlimen.

“Mandat yang diberikan adalah amanah yang harus saya pikul sebaik mungkin. Saya berikrar akan meneruskan usaha-usaha saya memberikan yang terbaik untuk kawasan kita di Petra Jaya,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Fadillah berkata rakyat Malaysia telah memilih dan keputusannya mengejutkan tapi adalah cukup jelas dan mereka perlu menghormati suara keramat rakyat disamping peralihan kuasa juga telah berlangsung dengan lancar tanpa sebarang percubaan untuk menafikan suara rakyat.


“Hakikatnya walaupun kita menang di Petra Jaya, kita kini berada di blok pembangkang di Peringkat pusat selepas keputusan mengejutkan bagi kerusi-kerusi Parlimen di Semenanjung, selain kebanyakan negeri turut menyaksikan kekalahan Barisan Nasional(BN),” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan dan penghargaan dan terima kasihnya juga kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diatas sumbangan dan jasa bakti sepanjang mentadbir negara serta menerajui BN khususnya dalam membantu Sarawak termasuk Parlimen Petra Jaya.

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Parlimen P.194 Petra Jaya di atas mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk terus berkhidmat mewakili suara rakyat di kawasan Petra Jaya,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada jentera parti yang telah bekerja keras demi menjamin kemenangan BN di Parlimen Petra Jaya disamping SPR dan anggota pasukan keselamatan, polis dan pasukan RELA yang telah memastikan kelancaran proses pilihan raya di negara ini. — DayakDaily