MKT PBB bermesyuarat pada Mei 16 untuk memutuskan hala tuju di dalam kerajaan PH

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING, Mei 13: Hala tuju Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada Mei 16 ini.

“Tunggu mesyuarat pada Mei 16 ini,” kata Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika ditanya mengenai sama ada PBB akan menyertai gabungan PH, hari ini.

Bagaimanapun, Awang Tengah yang juga Timbalan Ketua Menteri enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut, ketika ditemui sempena menyempurnakan pelancaran Program Hackwend IDECS 2018 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).


Mesyuarat tersebut akan diadakan di ibu pejabat PBB, Jalan Bako dekat sini dengan dipengerusikan oleh Ketua Menteri merangkap pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak dan presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ia juga adalah mesyuarat pertama diadakan susulan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Difahamkan, hasil mesyuarat itu bakal menjawab spekulasi yang hangat dibangkitkan sejak petang kelmarin, iaitu sama ada PBB akan menerima tawaran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk meninggalkan BN dan menyertai kerajaan PH.

Ini selepas sebuah portal berita melaporkan bahawa Dr Mahathir telah bertemu dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bagi membincangkan tawaran gabungan tersebut. Walaupun laporan tersebut tidak menyatakan apa yang dibincangkan diantara Dr Mahathir dan Taib, terdapat spekulasi PM telah menawarkan PBB untuk meninggalkan BN dan menyertai kerajaan PH. — DayakDaily