EU harus libatkan Malaysia ke arah pembangunan mampan perladangan — TPM Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof (file pic)
Advertisement

KUCHING, 18 Feb: Kesatuan Eropah (EU) seharusnya melibatkan Malaysia bersama di dalam menjayakan usaha berkaitan pembangunan mampan dalam sektor perladangan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, matlamat kedua-dua pihak adalah sama walaupun pendekatan yang diguna pakai berbeza.

“Bila EU memperkenalkan satu peraturan baharu, ia seolah-olah menyekat atau menghadkan dagangan kita dalam kelapa sawit, getah dan sebagainya.

Advertisement

“Sebab itu kita katakan bahawa EU mesti libatkan kita bersama, kerana komitmen adalah sama iaitu ke arah pembangunan mampan,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan Dan Komoditi menyifatkan peraturan baharu yang ditetapkan oleh EU adalah satu bentuk diskriminasi.

Katanya, ia bukanlah satu peraturan berat sebelah dan mungkin niat EU untuk melindungi hasil mereka.

Dalam pada itu tambah beliau, Malaysia telah memperkenalkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MPSO) dalam usaha memastikan kerja-kerja berkaitan kelapa sawit mempraktikan amalan baik.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyuarakan kepada Presiden Jerman Dr Frank-Walter Stein Meier supaya menyokong kita.

“Supaya EU melihat kembali peraturan itu dan mengambil kira pandangan Malaysia termasuk Indonesia dan Thailand.

“Yang penting ialah komitmen kita menerusi MPSO dilaksanakan dan kita mahu ia ditingkatkan,” kata Fadillah.

Sementara itu pada Mei depan katanya, Malaysia bersama Indonesia dan Thailand akan membentangkan kaedah yang diguna pakai ketiga-tiga negara dalam usaha ke arah pembangunan mampan di Parlimen Eropah. — DayakDaily

Advertisement