Eskalator di pusat membeli-belah terbakar di Kuching

Pasukan Bomba memastikan kebakaran telah padam sepenuhnya.

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 2 Mei: Tindakan pantas pasukan Emergency Response Team (ERT) sebuah pusat membeli-belah berjaya memadamkan kebakaran membabitkan tangga eskalator di premis tersebut semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.28 petang.


Katanya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dan Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan eskalator di bahagian ‘basement’ bangunan pusat membeli-belah tersebut.

“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh pasukan ERT tersebut menggunakan 12 tong unit alat pemadam api,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan Bomba kemudian membuat ‘size-up’ dan terus memadamkan kebakaran tersebut sepenuhnya.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai selepas memastikan keadaan telah selamat sepenuhnya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily