Eric masih hilang, operasi pencarian dihentikan

Anggota operasi melakukan pencarian untuk hari ke-7 hari ini.

KUCHING, 19 Mac: Operasi pencarian mangsa Eric Chang Wei Jie, 4 tahun yang dilaporkan hilang, dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang di sungai Muara Tebas dihentikan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata keputusan tersebut diambil selepas pencarian sejak 13 Mac hingga hari ini masih tidak menemui sebarang petunjuk baharu.

Katanya juga, operasi pencarian juga terbatas atas beberapa faktor seperti bentuk muka bumi, ancaman binatang buas, cuaca dan keadaan air pasang surut di lokasi pencarian.


“Sehingga hari ini (19 Mac), operasi pencarian masih belum mendapat sebarang petunjuk dan telah dihentikan setakat jam 6 petang.

“Sungguhpun begitu, pihak polis sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat orang awam untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya juga, polis akan meneruskan siasatan secara saintifik bagi merungkai petunjuk berkaitan.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan.

Justeru Ahsmon selain itu turut mengucapkan perhargaan khas kepada semua agensi yang terlibat operasi pencarian selama tujuh hari itu.

Antara yang terlibat ialah Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Operasi hari ini dijalankan di kawasan kampung meliputi radius 200 meter persegi kerana dikatakan terdapat bau busuk, namun pasukan operasi tidak menjumpai apa-apa.

Manakala pencarian menggunakan bot adalah sejauh 4.5 kilometer ke kawasan Sungai Buda Besar.

Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba dengan menggunakan seekor anjing digelar ‘Bella’ turut sama dalam operasi terakhir hari ini.

Eric sebelum dilaporkan hilang semasa dalam jagaan pengasuhnya di sebuah kawasan perumahan di Bintawa dan laporan kehilangannya telah dibuat oleh ibu Eric pada 7 Mac.

Hasil siasatan polis, pengasuh dan suaminya telah ditangkap dan tahan reman sehingga 24 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ini kerana kedua-dua suspek dipercayai telah membunuh Eric dan mayatnya dibuang ke sungai di Muara Tebas. ― DayakDaily