Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman terbakar

Fire and Rescue Department Malaysia/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia logo
Advertisement

MIRI, Sept 28: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Tanjung Berlipat, Niah, musnah terbakar lewat petang semalam.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.06 petang.

Sejurus menerima laporan tersebut, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

Advertisement

“Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Niah seramai enam orang turut bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi pemadaman api.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan terdapat enam penghuni kediaman berkenaan  berjaya menyelamatkan diri dari kebakaran dan tiada melibatkan sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, operasi pemadaman berkenaan menggunakan pam angkut untuk mengawal kebakaran dari merebak ke rumah berhampiran.

Katanya, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba dibantu oleh PBS Niah pada pukul 7.15 malam.

“Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak bomba,” katanya. — DayakDaily

Advertisement