Rumah musnah terbakar, seorang lelaki hilang tempat berteduh

Kelihatan api sedang marak.

DARO, Sept 28: Seorang lelaki kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata, selepas kediamannya musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Pancho di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, sebuah rumah jenis tidak kekal ranap terbakar 100 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.05 pagi.

Sejurus itu katanya, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Pada masa sama, 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Daro telah sampai di lokasi pada pukul 4.08 pagi untuk membantu operasi tersebut.

“PBS telah menjalankan operasi pemadaman menggunakan pam angkut sumber air dari pili bomba untuk mengawal kebakaran dari merebak ke rumah berhampiran,” katanya di sini hari ini.

Anggota PBS Daro sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

Jurucakap sama memberitahu, api yang marak membakar rumah berkenaan menyebabkan penghuninya gagal menyelamatkan barangan serta dokumen penting.

Katanya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 5.30 pagi.

“Setakat ini, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan pihak bomba,” ujarnya. — DayakDaily