KUCHING, 8 Mei: Enam peserta berjaya melayakkan diri untuk merebut gelaran Juara Pertandingan Sape Junior 2023 pada 13 Mei ini.
Mereka yang layak ialah Martinus Njok Sebi, Ferderick Maldini dan Darren Mengga Larry Mengga dari Kuching, manakala satu-satunya peserta dari Sibu iaitu Stanford Rayan Sidi turut berjaya mara ke malam kemuncak itu.
Aeron Junior Ibas dan Ernest Vaneman Amut Leonard pula merupakan peserta yang layak dari Miri.
Menurut Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Nasir Lariwoo, peserta akhir wajib mempersembahkan sebuah lagu sape tradisional secara solo pada pusingan pertama tidak lebih daripada 3 minit.
“Seterusnya untuk pusingan kedua, peserta dikehendaki membawa lagu kontemporari ciptaan dan gubahan sendiri dalam pusingan kedua dengan durasi maksimum 5 minit,” katanya pada sidang media di Auditorium Kecil RTM di sini, hari ini.
Tambah Nasir, persembahan para peserta akan diiringi oleh Kombo RTM.
Ujar beliau lagi, kehebatan serta kemahiran peserta dalam bermain alat muzik sape itu akan dinilai oleh para juri profesional terdiri daripada pemain sape dan ahli muzik.
Orang ramai dijemput hadir bersama menghangatkan suasana Kemuncak Sape Junior yang akan berlangsung di di Auditorium P. Ramlee RTM Kuching pada pukul 9 malam.
Program ini juga boleh ditonton secara langsung menerusi saluran TV2, aplikasi RTM Klik dan juga disiarkan menerusi laman Facebook RTM Sarawak. — DayakDaily