58 pelajar di Miri terima anugerah cemerlang

Harden (duduk tengah) bersama penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang di Miri. Foto: Ukas

KUCHING, 8 Mei: Seramai 58 pelajar dari 18 buah sekolah menengah di Miri menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang baru-baru ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ia melibatkan 24 pelajar cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, manakala 30 pelajar cemerlang lain adalah bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Anugerah tersebut telah disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis.


“Saya percaya pencapaian cemerlang ini hasil dari usaha gigih mereka dalam pelajaran.

“Anugerah ini diberi untuk memberi semangat kepada pelajar supaya terus berjaya di dalam pelajaran, ” katanya di satu majlis yang diadakan di Miri.

Tambah Harden, kejayaan yang dicapai oleh penerima anugerah tersebut juga seharusnya dicontohi oleh pelajar-pelajar yang lain.

Katanya, kerajaan menyediakan semua kemudahan supaya dapat membantu pelajar-pelajar di dalam pendidikan.

“Ini adalah kerana hanya melalui pendidikan sahaja kita dapat menempuh cabaran dunia hari ini,” kata Harden. — DayakDaily