Enam nyaris maut, dua kereta bertembung

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BINTULU, April 7: Enam individu berdepan detik-detik mencemaskan apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Bintulu-Tatau, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu melibatkan masing-masing sebuah kereta Perodua Viva dan Perodua Bezza.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.51 pagi.


Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan BBP Tatau kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati empat mangsa dari Perodua Bezza sudah keluar dari kenderaan tersebut.

“Manakala, dalam Perodua Viva pula, seorang mangsa masih tersepit dan seorang mangsa berjaya keluar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, selepas berjaya mengeluarkan mangsa, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal sebelum dia dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 7.05 pagi selepas keadaan di lokasi kemalangan adalah terkawal,” ujarnya. — DayakDaily