Penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan kereta

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di KM90, Jalan Persisiran Pantai, Miri.

MIRI, April 7: Seorang penunggang motosikal terkorban selepas bertembung dengan sebuah kereta di KM90, Jalan Persisiran Pantai di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 petang itu, mangsa, Abdul Rahman Noh, 53, dari Kampung Kuala Suai disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 sedang dalam perjalanan dari Batu Niah menuju ke bandar Miri.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Iriz.

“Kesan rempuhan kuat itu telah mengakibatkan mangsa melambung dan tercampak dari motosikalnya.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada anggota badannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 49 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily