Enam nelayan warga asing leka menangkap ikan di perairan negara ditangkap

Enam nelayan warga asing terbabit yang ditangkap dalam operasi tersebut.

KUCHING, 26 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak  menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang sedang leka merompak hasil laut negara pada jarak lebih kurang 100 batu nautika dari Tanjung Po, Kuching, sekitar jam 4.45 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan tersebut adalah hasil maklumat risikan serta aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti pencerobohan oleh nelayan asing Vietnam di perairan Sarawak.
Berikutan itu, Maritim Negeri Sarawak melakukan pemantauan rapi berjaya mengesan sebuah bot yang mencurigakan sekitar jam lebih kurang 4.00 pagi.
“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot tersebut melepaskan peralatan menangkap ikan sebagai cubaan untuk melupuskan bahan bukti dan cuba melarikan diri.
“Pihak penguat kuasa terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 45 minit untuk memintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut tiada memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
Manakala enam kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 51 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Enam kru termasuk tekong dan bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak, Kuching untuk siasatan lanjut.
“Manakala peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 7000 liter serta hasil tangkapan sekitar satu tan metrik ikan campur dirampas,” katanya.
Dedah beliau, keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1 juta.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua kru telah menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti,” katanya. — DayakDaily