Wanita cedera parah selepas ditetak rakan serumah menggunakan parang

Fail foto menunjukkan sebilah parang.

Brad Rantayy

MIRI, 26 Mei: Dipercayai kerana sering membebel dan bermulut celupar, seorang pekerja ladang wanita warga asing mengalami kecederaan pada seluruh badannya selepas ditetak rakan serumah menggunakan parang.

Sejurus kejadian, suspek lelaki berusia 26 tahun, telah melarikan diri bersama parang yang telah digunakannya.


Kejadian berlaku di dapur sebuah rumah pekerja di kawasan ladang di Sungai Laong, Bakong pada malam Selasa (25 Mei) sekitar jam 8.30 malam.

Mangsa ketika itu dikatakan sedang memasak sambil dibantu oleh suspek.

Namun, tindakan wanita tersebut secara tiba-tiba menegur telah menimbulkan kemarahan suspek.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Jo Hang, akibat kejadian, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kepala, leher, pinggang, bahu dan pergelangan tangan sebelah kanan.

“Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian, dan usaha untuk menjejaki suspek yang juga warga Indonesia sedang giat dijalankan,”katanya.

Mangsa, berusia 35 tahun yang bekerja sebagai peracun tikus di ladang terbabit telah dibawa ambulan Klinik Kesihatan Beluru, dan seterusnya dirujuk ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dalam keadaan sedar dan stabil,” kata DSP Jo.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata. — DayakDaily