Polis cekup lelaki warga asing disyaki edar dadah

Kelihatan dadah yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Nov 8: Niat jahat seorang lelaki warga asing untuk mengaut keuntungan hasil mengedar dadah disyaki jenis syabu digagalkan dalam satu serbuan di Jalan Abang Galau, semalam.

Suspek berusia 23 tahun itu diberkas oleh sepasukan anggota polis kira-kira 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili berkata, hasil pemeriksaan menemui 5.6 gram syabu yang disembunyikan di dalam kotak rokok.

Katanya, anggaran rampasan dadah jenis syabu itu adalah bernilai RM700.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengedar dadah berkenaan kepada rakan warga asing.

“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk ditahan reman bagi membantu siasatan kes,” katanya di sini hari ini.

Zulkipli menambah, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. — DayakDaily