Enam ditangkap di Kuching terlibat judi Piala Dunia Qatar 2022

Siasatan dijalankan di lokasi serbuan.

KUCHING, 16 Dis: Seramai enam individu ditangkap dalam Op Soga sejak 19 November hingga 16 Disember kerana disyaki terlibat kegiatan pertaruhan judi boleh sepak Piala Dunia Qatar 2022.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek adalah terdiri daripada tiga warga tempatan dan tiga lagi warga asing.

Katanya, tangkapan adalah hasil daripada 15 kali operasi yang dijalankan di sekitar bandaraya ini dalam tempoh tersebut.


“Sebanyak enam kertas siasatan dibuka di bawa Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 iaitu pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

“Dua daripadanya telah dituduh dan dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Manakala empat lagi kertas siasatan akan dituduh sebaik sahaja siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegas Ahsmon, operasi tersebut akan diteruskan bagi membanteras aktiviti perjudian di daerah Kuching.

“Kita amat mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian di Kuching dengan menyalurkan maklumat di Balai Polis berhampiran,” katanya. — DayakDaily