Enam cedera dalam kemalangan di Jalan Taiton, Bau

Pasukan bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BAU, 9 Jan: Seorang lelaki tersepit di dalam kereta selepas kereta dipandunya berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4wd) di Jalan Taiton, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.54 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang mangsa tersepit iaitu pemandu Proton Waja dan terdapat empat lagi mangsa iaitu dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak di dalam kereta yang sama.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat, mangsa yang tersepit mengalami kecederaan patah di paha kanan, manakala empat lagi mangsa mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan.

Manakala pemandu Toyota Hilux dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mangsa diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke hospital.

Setelah keadaan selamat dan terkawal, pasukan bomba kemudian berangkat balik ke balai. — DayakDaily