KOTA SAMARAHAN, Mac 26: Empat individu termasuk seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Asajaya berhampiran Kampung Moyan Sebandi di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu mengakibatkan sebuah lori tanpa muatan jenis tiga tan terhumban masuk ke dalam parit.
Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.35 petang.
Katanya, sejurus menerima maklumat insiden, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah lori terhumban di dalam parit di bahu jalan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penumpang termasuk pemandu berjaya keluar menyelamatkan diri, namun seorang daripada mereka melecur akibat terkena bahangan ekzos lori,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap sama menambah, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu.
“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan kecemasan,” ujarnya lagi. — DayakDaily