Penjaga bendera projek Lebuhraya Pan Borneo maut dirempuh lori

Anggota polis menunjukkan lokasi mangsa tercampak selepas dilanggar lori.

SARATOK, Mac 26: Seorang penjaga bendera projek Lebuhraya Pan Borneo maut selepas dirempuh sebuah lori di KM76 Jalan Sarikei-Betong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Lidam Guang, 54, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Saratok.

Lelaki yang menetap di Rumah Dana, Nanga Malong di sini disahkan meninggal dunia pada pukul 1.10 petang.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menahan sebuah Toyota Wish bagi memberi laluan kepada sebuah lori membawa muatan tanah keluar dari simpang.

Bagaimanapun katanya, malang menimpa mangsa apabila sebuah lori yang bergerak dari arah belakang dikatakan tidak sempat memberhentikan kenderaannya lalu merempuh mangsa yang berdiri di tepi jalan tersebut.

“Impak rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke dalam sebuah parit dan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu lori dan Toyota Wish masing-masing itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pihak polis sudah merakam keterangan daripada saksi dan menahan pemandu lori berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily