Empat maut, seorang parah dalam kemalangan di Samalaju

Keadaan di lokasi kemalangan.
Advertisement

SAMALAJU, 14 Nov: Empat maut, seorang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori berdekatan persimpangan lampu isyarat Eco Park, Bintulu hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.24 pagi.

Anggota dari Balai Bomba Samalaju diketuai Pegawai Bomba Kanan Mohd Alimun terus ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta yang telah melanggar belakang lori muatan panjang yang berhenti di laluan sebelah kiri.

“Terdapat lima mangsa, yang mana empat masih tersepit, manakala satu mangsa tercampak keluar dari dalam kereta.

“Kesemua mangsa yang tersepit, tiga lelaki dan seorang wanita berjaya dikeluarkan mengunakan peralatan menyelamat dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala mangsa yang parah telah dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 6.50 pagi.

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis. — DayakDaily

Advertisement