Program Jelajah Keluarga Malaysia hulur bantuan kepada keluarga B40

Fadillah (dua dari kiri) pada lawatan ke rumah Soh di kawasan Satok hari ini.

KUCHING, 14 Nov: Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof hari ini menyampaikan sumbangan makanan dan kewangan kepada dua keluarga Cina di kawasan Satok.

Ketika ditemui, beliau yang juga MP Petra Jaya berkata ia adalah program mingguan Jelajah Keluarga Malaysia bagi melawat keluarga yang memerlukan bantuan.

“Hari ini kita jumpa dua keluarga di kawasan Satok. Minggu lepas kita telah menyampaikan sumbangan di kawasan Tupong dan Samariang.


“Tiada sasaran, asalkan keluarga ini ada dalam senarai daftar dan kita ada pelbagai bentuk bantuan,” katanya.

Menurut Fadillah, bantuan bukan sahaja disediakan oleh kerajaan persekutuan, malah kerajaan negeri pun ada pelbagai program bantuan.

Katanya, ia termasuk bantuan membaiki rumah, bantuan kewangan, keperluan makanan serta bantuan kebajikan.

“Sasaran kita ialah keluarga dari golongan B40 termasuk juga M40, khususnya mereka yang memerlukan bantuan,” ujar beliau.

Pada lawatan pertama hari ini, Fadillah telah melawat ke rumah Lim Kiat Tse ,72, dan menyampaikan bantuan keperluan makanan serta kewangan.

Kerajaan melalui Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin telah membantu membaiki bahagian bilik dan tandas serta atap rumah Lim.

Pada lawatan kedua, Fadillah telah menyampaikan bantuan keperluan makanan dan kewangan kepada Soh Ehh Nee yang berumur 68 tahun.

Turut hadir Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Satok Dato Ibrahim Baki. — DayakDaily