Empat lelaki ditangkap berjudi mahjung

Kesemua suspek ditangkap ketika bermain mahjung.

KUCHING, 17 Mac: Seramai empat lelaki diberkas bermain judi mahjung dalam satu serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata kesemua suspek yang berusia 52 hingga 55 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Batu Kawa sekitar jam 9.10 malam.

“Mereka bermain judi mahjung di rumah salah seorang suspek yang dipercayai selaku penganjur.


“Rumah itu turut didiami isteri dan anak suspek dan suspek mengaku menjadikan rumahnya tempat bermain judi mahjung bersama kawan-kawannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidil turut memberitahu siasatan lanjut mendapati kegiatan perjudian tersebut bermula sejak dua minggu lalu, dari petang sehingga malam.

Aidil menambah pasukan serbuan turut merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM3,960 termasuk peralatan bermain judi mahjung.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. -Dayakdaily