Empat lelaki disyaki penagih dadah ditangkap di Batu Kawah

Gambar komposit menunjukkan keempat-empat suspek yang ditangkap.

PADAWAN, 9 Nov: Polis menahan empat lelaki disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di hadapan sebuah rumah di Batu Kawah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata keempat-empat suspek berusia 22 hingga 30 tahun.

Katanya, mereka ditangkap dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padawan kira-kira jam 12.40 tengah hari.


“Polis telah menjumpai dadah disyaki jenis syabu seberat 6.57 gram yang dianggarkan bernilai RM850.

“Manakala hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati keempat-empat suspek didapati positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily