Empat kelas dan stor, sebuah kantin serta dapur SJKC Kiew Nang terbakar

Api sedang marak membakar sebuah kelas di SJKC Kiew Nang, Sibu.

Oleh Dean Adam

SIBU, Mei 21: Empat buah kelas dan stor serta masing-masing sebuah kantin dan dapur di SJKC Kiew Nang musnah terbakar petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.23 petang.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba dari BBP Sibu bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Pasukan bomba dari BBP Sungai Merah turut diarahkan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi tersebut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, apabila tiba pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar empat buah kelas dan stor selain bahagian kantin dan dapur sekolah berkenaan.

Katanya, pasukan bomba kemudian bertindak membuat operasi memadam kebakaran bagi memastikan api tidak merebak ke bahagian lain.

“Buat masa ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan.

“Operasi memadam tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 6.14 petang,” katanya. — DayakDaily