Empat individu termasuk dua wanita dicekup disyaki miliki dadah

Pelbagai barangan yang dirampas daripada empat suspek.

SARATOK, Sept 8: Empat individu termasuk dua wanita diberkas selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu menerusi satu operasi semalam.

Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 36 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok pada pukul 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Saratok, Dsp Mordani Tanin berkata, keempat-empat suspek ditahan selepas pasukan polis menahan sebuah kereta Perodua Kelisa yang dinaiki mereka.


Katanya, hasil pemeriksaan menemui satu plastik lutsinar mengandungi 30 paket kecil ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 17gram yang disembunyikan di bawah tempat duduk.

“Tidak cukup dengan itu, anggota polis juga merampas sebilah parang yang disimpan di dalam kereta tersebut.

“Polis kemudian menahan keempat-empat suspek sebelum merampas wang tunai sebanyak RM4,400 daripada suspek,” katanya hari ini.

Mordani menambah, kesemua suspek dan rampasan barangan kes kemudian dibawa ke Balai Polis Saratok untuk tindakan seterusnya.

Katanya, suspek direman selama empat hari untuk siasatan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39(A)1 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. — DayakDaily