Lima lelaki Indonesia ditahan dalam tempoh 24 jam

Anggota tentera menahan lelaki warga Indonesia yang memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

LUNDU, Sept 8: Dalam tempoh kurang 24 jam, pasukan tentera dari Rejimen ke-4 Kor Armor Diraja berjaya menahan lima lelaki warga Indonesia yang dipercayai masuk ke negara ini tahap dokumen perjalanan yang sah.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, tangkapan pertama melibatkan tiga lelaki yang dikesan masuk ke negara ini menerusi jalan tikus berhampiran Kampung Kendaie di ini pada pukul 9 pagi.

Menurutnya, kejayaan kedua pula melibatkan tangkapan dua lelaki di kawasan sama kira-kira pukul 10.20 malam.

Anggota tentera menahan lelaki warga Indonesia yang memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

“Kelima-lima lelaki warga Indonesia yang ditahan itu berusia antara 27 hingga 41 tahun.

“Siasatan lanjut mendapati, mereka dipercayai masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, siasatan juga mendapati kelima-lima lelaki warga asing itu masuk ke Malaysia untuk bekerja di kebun serta ladang penduduk tempatan.

Katanya, mereka dikatakan dibayar gaji dalam lingkungan RM30 hingga RM60 sehari.

“Kelima-lima lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes tersebut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya lagi. — DayakDaily