Empat individu nyaris maut selepas terlibat dalam kemalangan

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BINTULU, Feb 28: Empat penumpang sebuah kereta termasuk pemandu nyaris maut apabila Perodua Viva yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Bintulu-Sibu di sini awal pagi ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 3.53 pagi.


Menurutnya, sejurus menerima laporan insiden,sepasukan 10 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan Perodua Viva dan Naza Citra.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu Perodua Viva telah tersepit pada tempat duduk pemandu sebelum pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu kata Tiong, pemandu Naza Citra pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, empat mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.29 pagi selepas memastikan keadaan di lokasi kemalangan selamat daripada pengguna jalan raya lain,” ujarnya lagi. — DayakDaily