Cap Goh Meh Festival 2018 anjuran DBKU akan diadakan pada Mac 3

Abang Abdul Wahap (lapan dari kiri) bersama wakil pertubuhan komuniti Cina dan penaja acara Cap Goh Meh Festival 2018 menunjukkan poster acara anjuran DBKU selepas mengadakan sidang media.

KUCHING, Feb 28: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mempelawa penduduk bandaraya ini beramai-ramai menghadiri acara Cap Goh Meh Festival 2018 bagi meraikan malam ke-15 perayaan Tahun Baru Cina yang juga malam terakhir perayaan itu di India Street Pedestrian Mall, di sini, pada Mac 3 depan.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata antara aktiviti terbabit ialah persembahan tarian singa, tarian naga, 24 gendang musim dan muzik klasik Cina, persembahan pelbagai budaya oleh murid sekolah rendah, pertunjukkan bunga api, upacara melontar buah oren Mandarin serta tarian kaum India.

“Acara terbabit dijadualkan bermula jam 8.30 malam dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang menjadi tetamu kehormat akan merasmikan acara itu,” katanya semasa sidang media Cap Goh Meh Festival 201, di sini, semalam.


Abang Abdul Wahap berkata DBKU akan menganjurkan acara terbabit dengan kerjasama Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Persekutuan Persatuan Komuniti Bahagian Kuching dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Kuching, Persekutuan Kebajikan Perniagaan India Muslim, Persatuan Komuniti Pasar Lama Kuching, The Waterfront Hotel dan Plaza Merdeka Management Sdn Bhd.

“Saya sehubungan itu mempelawa semua warga bandaraya Kuching supaya menghadiri acara ini. Tahun ini akan kali kedua acara ini dianjurkan DBKU dan temanya ialah ‘Satu Sambutan Kemakmuran dan Kepelbagaian’,” katanya.

Beliau berkata kemungkinan kawasan India Street Pedestrian Mall menjadi sesak ketika acara terbabit berikutan ada trafik jalan raya berdekatan yang akan terpaksa dilencongkan ke arah lain seawal jam 7 malam. Beliau juga meminta penguna kenderaan mengikut arahan pihak yang akan ditugaskan mengawal lalulintas ketika itu. — DayakDaily