Empat individu baling bom petrol diburu polis

Pasukan bomba memeriksa keadaan pam minyak yang terkena bom petrol.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Jan 17: Empat individu yang dipercayai terlibat dengan kes membaling bom petrol atau ‘Molotov cocktail’ di sebuah stesen minyak di Jalan Kuching-Kota Samarahan di sini tengah malam tadi kini sedang diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengusaha stesen minyak tersebut pada pukul 11 pagi ini.

Tegasnya, berdasarkan laporan diterima, terdapat empat individu yang tidak dikenali dengan menggunakan dua buah motosikal terlibat dalam kes membaling bom petrol le arah sebuah pam minyak di situ kira-kira pukul 12.05 tengah malam.

Advertisement

“Bagaimanapun, kepantasan pekerja di stesen minyak tersebut telah berjaya mengawal api daripada merebak.

“Pekerja stesen minyak itu kemudian menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sisa bom petrol yang dibaling ke arah pam minyak.

Mengulas lanjut, Lee memberitahu, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan polis masih menyiasat motif kejadian itu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.07 tengah malam.

Jelas, sebaik menerima laporan kejadian, sepasukan 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan kemudian dikerahkan ke lokasi insiden.

“Kita memuji tindakan pantas pekerja stesen minyak itu yang berjaya memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement