Empat beranak termasuk seorang bayi cemas, rumah didiami terbakar

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Dean Adam

BAU, Jun 26: Empat beranak termasuk seorang bayi berusia 10 bulan berdepan detik mencemaskan apabila kediaman mereka di Kampung Tembawang Sauh di sini terbakar, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu telah menyebabkan sebuah kediaman dua tingkat jenis rumah kekal terbakar kira-kira 70 peratus.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.36 tengah hari.

Katanya, sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah dua tingkat.

“Pemeriksaan mendapati empat beranak tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi memadam tamat pada pukul 1.50 petang.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily