Empat beranak maut dalam kemalangan di Saratok

Anggota Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. Firefighters tried to remove the trapped victim.

SARATOK, 11 Julai: Sepasang suami isteri bersama dua anak mereka meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan berhampiran Simpang Roban, Jalan Saratok-Sarikei hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.53 pagi.

Katanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori treler dan sebuah kereta Honda City.

“Keempat-empat mangsa di dalam Honda City tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kesemua mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dan seterusnya diserahkan kepada polis.

“Mangsa yang meninggal dunia ialah seorang lelaki dewasa (suami) berusia 30 tahun, wanita dewasa (isteri), kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun dan seorang bayi lelaki berusia 1 tahun 3 bulan,” katanya.

Manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Seterusnya pasukan Bomba membuat pembersihan jalan daripada serpihan kaca dan tumpahan minyak kesan daripada kemalangan,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.31 pagi. — DayakDaily