Penunggang motorsikal maut langgar pokok tumbang

Mangsa maut selepas melanggar pokok tumbang ketika menunggang motorsikalnya melalui jalan berkenaan tengahari Ahad (10 Julai 2022) untuk ke tempat kerja.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Julai: Seorang penunggang motorsikal maut selepas melanggar pokok tumbang dalam kejadian di KM17 Jalan Bakam Persisir Pantai pada tengahari Ahad (10 Julai).

Dalam kejadian jam 12.35 tengahari itu, mangsa, 32, dari Kampung Bakam, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu, mangsa yang menunggang motorsikal bersendirian dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Eastwood Valley & Country Club di Jalan Miri By-pass.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa tidak perasan terdapat sebatang pokok tumbang melintang di atas jalanraya menyebabkan dia tidak sempat mengelak lalu melanggar pokok tersebut,” ujar Alexson.

Mangaa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian.

Menurut Alexson, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily