This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 29 Ogos: Elizabeth Lian dari Uma Balui Ukap dinobat juara Pertandingan Keligit pesta ‘Ramei Do Ledoh’ di Sungai Asap, Belaga pada Ahad.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), naib juara dimenangi Michelle Shulan Nipak dari Uma Daro dan tempat ketiga Lesyiana Lurek Yam dari Uma Lesong.
Manakala bagi pertandingan Belawan pula dimenangi oleh Alexander Joseph dari Uma Balui Ukap, naib juara Raymond Reyfield juga dari Uma Balui Ukap dan tempat ketiga dimenangi Dalvin Palong dari Uma Daro.
Sementara itu, Adun Belaga Datuk Liwan Lagang mencadangkan agar pesta ‘Ramei Do Ledoh’ diadakan mengikut waktu perayaan sebenar.
Jelasnya, musim menuai biasanya disambut pada bulan April setiap tahun, justeru beliau mencadangkan agar perayaan itu ditetapkan diadakan pada minggu kedua bulan Mei setiap tahun.
“Apabila tarikhnya sudah tetap maka kita harus ikut dan patuh kepada tarikh tesebut dan tidak perlu diubah lagi.
“Juga ini bagi memudahkan kita berbincang dan berunding dengan pihak Kementerian Pelancongan.
“Kita juga dapat bersedia awal sekiranya ingin menghantar wakil Keligit dan Belawan ke peringkat Negeri kerana sudah awal mengadakan perayaan kita lebih awal dari Perayaan Hari Gawai Dayak, ” kata Liwan yang juga Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi.
Terdahulu, beliau turut memaklumkan bantuan peruntukan kepada pihak penganjur perayaan sebanyak RM15,000 kepada Jawatankuasa Penganjur Ramei Do Ledoh 2023 dan RM15,000 kepada Jawatankuasa Motivasi Pendidikan Ramei Do Ledoh 2023. — DayakDaily