This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 3 Sept: Seorang ejen insuran mengalami kerugian RM140,000 selepas diperdayakan untuk membuat kerja sambilan atas talian sejak Ogos lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata mangsa merupakan seorang wanita berusia 30an mulanya tiba-tiba dimasukan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dan juga Telegram.
Katanya, mangsa selepas itu dihubungi oleh seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Gerry’.
“Mangsa ditawarkan kerja sambilan atas talian serta diterangkan cara untuk mendapatkan wang dengan melanggan channel di aplikasi YouTube dan setiap langganan akan dibayar insentif berjumlah RM8.90 dan boleh mencecah sehingga RM219.80.
“Mangsa kemudian mendaftar masuk ke dalam satu akaun melalui satu pautan dan kemudian dia diarahkan menekan logo di dalam aplikasi tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelasnya, mangsa turut membuat sembilan transaksi pemindahan wang sejak penghujung bulan Ogos.
“Sembilan transaksi telah dibuat ke dalam lima akaun bank berbeza yang melibatkan kerugian sekitar RM140,000,” katanya.
Mangsa mula sedar dirinya ditipu apabila tidak lagi mendapat wang pulangan keuntungan seperti dijanjikan.
“Mangsa hanya mendapat RM300 sahaja pulangan,” katanya.
Laporan polis telah dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan. — DayakDaily