Kesejahteraan keluarga Sarawak pada skor sederhana – Fatimah

Datuk Seri Fatimah Abdullah

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 26 Mei: Sarawak mencatat kesejahteraan keluarga pada tahap sederhana dengan skor 7.78 daripada skor maksimum 10.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia mengikut kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2019 berdasarkan 8 domain.

“Skor yang dicapai oleh Sarawak bagi 8 domain yang diukur adalah Hubungan Kekeluargaan (8.44), Ekonomi Keluarga (7.90), Kesihatan Keluarga (7.41), Keselamatan Keluarga (7.98).


“Keluarga dan Keterlibatan Komuniti (8.09), Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian (8.15), Perumahan dan Persekitaran (6.98), dan Keluarga dan Teknologi Komunikasi (7.34),” katanya.

Fatimah berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN hari ini.

Tambah Fatimah, Kementerian melaksanakan program secara berterusan bagi mencapai kelestarian institusi keluarga yang berdaya tahan mengharungi cabaran kehidupan, mampu menyara keluarga, menyediakan persekitaran yang kondusif serta selamat, dan hubungan kekeluargaan yang erat dan harmoni.

Bagi mengukuhkan hubungan kekeluargaan katanya, Kementerian dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan agensi negeri lain termasuk NGO melaksanakan secara berterusan pelbagai program pembangunan keluarga.

“Kementerian juga giat melaksanakan program-program kesedaran dan advokasi tentang hak dan perlindungan wanita dan kanak-kanak yang termaktub dalam undang-undang sedia ada,” ujar Fatimah. — DayakDaily