This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 12 Sept: Musim durian digunakan sebaiknya oleh penduduk Padawan bagi menambah pendapatan keluarga.
Tinjauan di sekitar Market Basah Pekan Batu 10 hari ini mendapati terdapat beberapa kawasan lapang digunakan bagi menjual buah tersebut.
Seorang penjual dari Kampung Praya yang selesa dengan panggilan Uncle James berkata, ia adalah aktiviti tahunan semasa musim durian yang sedikit sebanyak membantu belanja dapur.
“Awal pagi saya akan ke kebun durian untuk mengumpul buah yang jatuh pada malam hari, ia adalah buah segar dan enak.
“Sebaiknya kita jual sahaja di Pasar Batu 10 ini sebab ia terlalu banyak, makan sendiri pun tidak habis,” katanya ketika ditemui.
Sejak seminggu yang lepas, Uncle James setiap hari membawa lebih 30 biji durian untuk dijual.
Kebanyakan durian beliau dijual dengan harga RM20 sebiji buat masa sekarang, kerana bekalan masih kurang.
Namun katanya, bila jumlah durian sudah terlalu banyak nanti, kebiasaannya harga akan turun di sekitar RM5-RM10 sebiji.
“Untuk dibawa pulang semula pun tiada guna, di waktu itu nanti kita akan jual murah sahaja sebab terlalu banyak durian dijual di pasar.
“Apa pun, pada musim buah khususnya durian memang memberi pendapatan lebih kepada kami,” ujar Pakcik James.
Selain Uncle James, penduduk dari kampung lain sekitar Padawan turut memasarkan durian masing-masing di Pekan Batu 10. — DayakDaily