DUN Sarawak tidak pernah luluskan Pelabuhan Bintulu jadi Pelabuhan Persekutuan — Pele

Pele Peter Tinggom Photo credit: Pele Peter Tinggom/Facebook
Advertisement

KUCHING, 29 Julai: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pengisytiharan suatu Kawasan dalam daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 amat signifikan kepada rakyat Sarawak, kata Ahli Dewan Negara Senator Pele Peter Tinggom.

Menurut laporan TVS, Pele berkata, ia khususnya dalam pemilikan kembali pelabuhan itu.

Katanya, pada 1979 Parlimen telah meluluskan RUU berkenaan dengan membelakangkan Perkara 15 Senarai 2A Tambahan kepada Senarai Sabah dan Sarawak.

Advertisement

Jelas beliau di bawah Perkara 76(1)(c), Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas Parlimen boleh membuat undang–undang mengenai perkara yang disebut satu persatu dalam senarai negeri tetapi hanya jika diminta oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tiada rekod ordinan atau akta yang diluluskan di DUN Sarawak yang meminta Parlimen meluluskan Akta Penyisytiharan Suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi satu Port Persekutuan.

“Saya buat kajian, memang tiada,” katanya pada perbahasan pemansuhan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Tambah Pele Peter akta yang diluluskan pada 1979 itu juga tidak konsisten dengan peruntukan Perkara 15 dan Perkara 76 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia.

Sementara itu beliau berkata, permansuhan berkenaan juga merupakan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memahami dan mengambil berat dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). — DayakDaily

Advertisement