DUN Batang Ai menjana tenaga, destinasi eko pelancongan

Malcom Mussen, calon GPS daripada PRS untuk kawasan Batang Ai.

Iklan rencana

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai yang menempatkan loji hidroelektrik(HEP) tertua di Sarawak dengan kapasiti 108 megawatt terus menjana tenaga hingga hari ini.

HEP Batang Ai telah memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang sosioekonomi kepada penduduk setempat baik yang menetap di huluan dan hiliran loji berkenaan.


Pembinaan loji itu membuka akses kepada keseluruhan daerah Lubok Antu apabila infrastruktur asas terutama jalan berturap dinaik taraf.

Ini memberi peluang kepada petani menceburi sektor perladangan dan tanaman lain.

Loji Hidroeletrik Batang Ai.

Bukan itu sahaja, tasik buatan di loji berkenaan turut membuka peluang kepada penduduk tempatan menceburi industri ekopelancongan.

Semua ini membantu mentransformasi ekonomi penduduk di Lubok Antu menjadi lebih baik.

Kawasan tadahan bukan sahaja ideal untuk menjalankan aktiviti akuakultur tetapi turut menyalurkan bekalan air untuk keperluan harian dan pertanian bagi penduduk di hiliran.

Tasiknya sesuai untuk industri pelancongan, pelancongan sukan dan ekopelancongan yang membantu menjana pendapatan sampingan menerusi perusahaan inap desa dan sederhana.

Ia menjadikan Batang Ai sebagai destinasi ikonik untuk pelancongan di Sarawak.

Kawasan pesisir tasik juga membuka peluang ekonomi sampingan melalui penternakan ikan kolam dalam sangkar seperti patin dan tilapia.

Keistimewaan Batang Ai adalah ia salah satu tempat di dunia yang memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan orang utan.

Kawasan tadahan Batang Ai meliputi kawasan hutan hujan terlindung yang terletak dalam lingkungan Taman Negara Batang Ai seluas 24,000 hektar dan Tempat Perlindungan Hidupan Liar Lanjak-Entimau seluas 182,000 hektar.

Ia diisytihar kawasan terlindung sepenuhnya (TPA) yang menjadi zon penting bagi masa depan populasi orang utan Borneo.

Jeti Batang Ai dan kawasan sekitarnya menjadi tarikan pelancong.

Percepatkan Pelaksanaan Projek di Batang Ai

Dengan cadangan ibukota Indonesia dipindahkan ke Kalimantan, pekan sempadan Lubok Antu berada di kedudukan terbaik untuk dibangunkan sebagai ‘gateway’ antarabangsa.

Ia pastinya merancakkan aktiviti perniagaan, khususnya dagangan barangan antara sempadan yang melibatkan aktiviti eksport dan import.

Penyandang kerusi DUN Batang Ai Datuk Malcolm Mussen Lamoh yakin ia bakal memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk berniaga atau bekerja di dalam sektor pengangkutan dan perkilangan yang perlu diwujudkan di sekitar pekan Lubok Antu.

Jelas beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Industri, dengan mengambil kesempatan daripada situasi tersebut ia akan menyediakan peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi kepada penduduk tempatan.

Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) katanya telah mengambil maklum perkara tersebut dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada bulan Mac 2021 telah datang sendiri untuk melihat keadaan keselamatan serta aspek-aspek pembangunan sempadan yang perlu dipertingkatkan.

Kata Mussen, ini mengambil kira apa yang sedang dan akan berlaku di negara jiran.

Mussen (lima dari kiri) pada lawatan bersama ketua masyarakat dan ketua kaum ke Projek Tebingan Lubok Antu.

Menurut beliau, Kerajaan GPS mempunyai visi nyata dan kemahuan untuk mengubah pekan sempadan Lubok Antu menjadi satu kawasan yang sesuai kepada pelancong dan pelabur yang datang dan seterusnya menjana pendapatan kepada penduduk tempatan.

“Namun, tidaklah sukar untuk menjangka serta memahami potensi aktiviti dagangan sempadan dan kesan ekonomi berikutan cadangan pemindahan ibukota Indonesia ke Kalimantan.

“Ini setelah mengambil kira sumber alam yang banyak dan luasnya kawasan pertanian di sepanjang sempadan,” kata Mussen.

Beliau juga memohon kepada kerajaan agar memberi keutamaan untuk menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan di DUN Batang Ai.

Terutamanya jalan raya dua lorong sehala yang dihubungkan ke Lebuhraya Pan Borneo atau Jalan Utama Kedua yang seterusnya menuju ke Pelabuhan Tanjung Manis atau destinasi lain yang memudahkan aktiviti memindahkan barangan sekiranya pelabuhan darat diwujudkan di Batang Ai.

“Selain memiliki potensi di dalam aktiviti pelancongan, barangan makanan seperti beras, hasil akuakultur ikan atau buah-buahan pastinya bakal mendapat permintaan yang tinggi daripada populasi besar di seberang sempadan.

“Dengan wujudnya jalan penghubung yang baik, penduduk dengan mudah boleh memasarkan produk-produk atau barangan ke seberang sempadan,” ujar Mussen.

Projek Jalan Nanga Kesit ke Ulu Lemanak ke Engkari (Fasa 1).

Lima Projek Utama

Demi pembangunan berterusan di kawasan DUN Batang Ai, Mussen berusaha untuk mempercepat pelaksanaan lima projek pembangunan untuk kawasannya.

Katanya, dua daripada lima projek itu adalah penyambungan Jalan Nanga Kesit-Ulu Engkari/Jalan Lemanak (Fasa II dan III)  serta pembinaan Jalan Ulu Batang Ai sejauh 25 kilometer bernilai RM187 juta.

Projek ketiga pula adalah penyambungan paip bekalan air terawat (Fasa II) untuk kawasan Daerah Lubok Antu yang menelan kos sebanyak RM117.8 juta.

Manakala dua lagi projek adalah Projek Kuasa Solar Terapung di Empangan Hidro Batang Ai dan pembinaan Loji Perawatan Air Engkilili baharu bernilai RM220 juta dengan kapasiti pengeluaran air sebanyak 75 juta liter sehari (MLD).

Turut di dalam senarai keutamaan Mussen adalah permohonan kepada Kerajaan Sarawak untuk memberi penekanan terhadap beberapa isu termasuk Projek Rakyat ketika ini.

Jambatan Merebong di Engkilili yang sedang dalam pembinaan bakal memberi kemudahan kepada penduduk sekitarnya.

Antaranya adalah isu penukaran status tanah yang dibangunkan oleh SALCRA di kawasan Skim Penempatan Semula Batang Ai kepada Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dimana kos pengeluaran Surat Hakmilik Tanah S.18 KTN dapat dikecualikan dengan tempoh berkekalan.

Turut mendapat perhatian adalah berkenaan isu talian perkhidmatan telekomunikasi serta isu kekerapan gangguan bekalan elektrik disebabkan oleh faktor talian grid melebihi 30 tahun.

Beliau juga memohon dana tambahan untuk membesarkan Projek Tebingan Lubok Antu yang melibatkan pembinaan dua jambatan gantung merentangi sungai Batang Ai yang bakal memberi manfaat kepada penduduk dari 5 buah rumah panjang berdekatan.

Kemudahan jayaraya

Dengan kemudahan jalan raya yang telah dibina, ia memudahkan urusan pengangkutan penduduk di sekitarnya yang selama ini bergantung kepada sungai.

Ini juga membantu menjana pendapatan kepada penduduk kerana hasil tanaman seperti sayur dan lain-lain termasuk hasil hutan dapat dibawa ke pasar Lubok Antu dan Engkelili untuk dijual.

“Selain itu, kemudahan jalan raya ini membantu ibu bapa untuk menghantar anak anak mereka ke sekolah dan ke klinik-klinik berhampiran.

“Kalau dahulu, pengangkutan melalui sungai adalah sukar dan kadang-kadangnya amat bahaya jika arus deras,” katanya.

Penghulu Chabi Embik

Bagi pembinaan jalan raya tambah Penghulu Chabi, kerajaan GPS telah membayar pampasan tanah kepada penduduk yang terjejas.

Bagi kawasan yang belum menikmati kemudahan ini, beliau menasihatkan penduduk untuk bersabar kerana kerajaan sudah merancang pelbagai projek, cuma menanti pelaksanaannya sahaja.

“Selain jalan raya, air dan elektrik, liputan internet juga menjadi satu keperluan kepada kami di luar bandar seperti di Ulu Lemanak.

“Kita harap kerajaan mengutamakan isu ini kerana ia penting khususnya untuk anak anak kami yang masih bersekolah yang mengikuti pembelajaran di atas talian,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Chabi yakin majoriti rakyat gembira dengan pelbagai projek yang dibawa oleh kerajaan menerusi wakil rakyat (Mussen) di kawasan DUN Batang Ai.

Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA)

Dalam pada itu, sebanyak 48 projek dengan peruntukan RM1.18 bilion yang melibatkan kawasan Batang Ai akan dilaksanakan oleh SADA.

Pengerusi SADA Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata cadangan projek projek pembangunan  itu akan dibangunkan di bawah peruntukan pembiayaan alternatif dan pelaksanaan dijangka bermula tahun depan.

Cadangan projek Jalan Bukong-Engkelili-Lubok Antu di dalam senarai utama Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA).
Cadangan Projek Jalan Sebeliau Ng Entalau dalam senarai utama Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA).

Melalui SADA, Batang Ai akan dibangunkan menjadi satu hub ekopelancongan yang berteraskan komuniti bersama kawasan lain seperti Gunung Lesong, Banting dan Seduku.

Rohani yang juga MP Batang Lupar yakin Lubok Antu berpotensi menjadi salah satu pintu utama ke negara jiran(Kalimantan) dan berketrampilan dalam sektor pelancongan sempadan.

Abang Johari pada lawatan ke Batang Ai pada Mac tahun ini telah mengumumkan penyediaan kemudahan lampu jalan sejauh 7.5 kilometer dipercayai menelan anggaran kos sebanyak RM3 juta yang menghubungkan kawasan Pekan Lubok Antu hingga ke Kompleks ICQS. — DayakDaily