Dua warga asing curi buah sawit ditahan

Kedua-dua suspek (berdiri tengah) ditahan di tepi jalan kawasan Sepupok Niah semalam.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 2 Disember: Tidak sampai 12 jam selepas laporan kehilangan buah sawit yang ditombak dari 40 pokok dari sebuah ladang di Niah, Polis petang semalam menahan dua lelaki untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua suspek dipercayai warga Indonesia itu telah ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri di kawasan tepi jalan Sepupok Niah.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Khamis lepas di dalam sebuah kebun sawit di Niah.

Kedua-dua suspek dilihat menombak buah sawit awal pagi, namun perbuatan mereka telah dilihat pengurus ladang tersebut yang kemudiannya membuat laporan polis.

Anggaran kerugian lebih RM2,000.

Difahamkan harga komoditi tersebut mencecah RM1,500 setan berikutan permintaan yang tinggi dari pasaran dunia. — DayakDaily