Duda anak lima disyaki melakukan sumbang mahram, anak perempuan melahirkan bayi

Suspek (tiga dari kanan) ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 17 Mac: Seorang duda beranak lima ditahan pihak polis hari ini selepas disyaki melakukan sumbang mahram sehingga anak perempuannya berusia 18 tahun melahirkan bayi lelaki awal pagi Selasa (16 Mac).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi hari ini berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan sekitar jam 12.40 tengahari tadi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) susulan satu laporan dibuat pihak Hospital Miri.


Hasil siasatan mendapati suspek telah melakukan perbuatan terkutuk itu sejak empat tahun yang lalu terhadap mangsa di rumah mereka di Jalan Pujut 8 di sini.

“Suspek merupakan duda. Dia dan isteri telah bercerai sejak tahun 2012 dan kesemua anak-anaknya tinggal bersamanya di rumah tersebut termasuk mangsa,” ujar Hakemal.

Mangsa merupakan anak kedua dari lima beradik hasil perkahwinan suspek bersama bekas isterinya.

“Mangsa telah mengaku kepada salah pegawai perubatan di Hospital Miri semasa hendak mengisi borang butir-butir bayi bahawa bapak bayinya adalah bapak kandungnya sendiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram. — DayakDaily