Covid-19: 1,219 kes baharu dan 2 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 17 Mac: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,219 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,212 kes tempatan dan tujuh kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 327,253 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 15,075 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selangor mencatatkan jumlah kes positif tertinggi dengan 499 diikuti Sarawak (225) dan Johor (169).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,346 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 310,958 kes atau 95.02 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 154 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 64 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,220.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan dua kes di Sabah.

“Kedua-dua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat 12 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan lapan kluster tempat kerja, dua kluster komuniti dan masing-masing satu kluster yang melibatkan pusat tahanan dan import. — DayakDaily