Dua warga emas pengsan akibat trauma rumah didiami terbakar

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Dis 25: Dua orang warga emas pengsan dipercayai akibat trauma selepas dua buah kediaman di Kampung Koran di sini terbakar petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kebakaran kira-kira pukul 4.45 petang itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian, Julie Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.50 petang.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis struktur separuh kekal dan rumah setingkat jenis struktur kekal.

“Sebaik tiba, pasukan bomba segera bertindak memadamkan kebakaran.

“Semua penghuni rumah berkenaan sempat keluar menyelamatkan diri, namun dua warga emas pengsan dipercayai akibat trauma,” katanya di sini malam ini.

Julie menambah, dua warga emas yang pengsan kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan bomba dari Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS).

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily