KUCHING, 16 Nov: Seorang pemandu dan kalindan lori nyaris maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Demak, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.16 pagi.
Katanya, beberapa anggota dari Balai Bomba Petra Jaya terus ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan dua mangsa tersepit di dalam lori.
“Setiba di lokasi kejadian, pihak Bomba terus bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Selepas berjaya dikeluarkan, mereka yang mengalami kecederaan di kaki dan tangan kemudian diberikan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital menggunakan jentera unit EMRS Bomba. — DayakDaily