SERIAN, 15 Mac: Dua lelaki warga tempatan ditangkap disyaki cuba menyeludup masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Jalan Mongkos, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata kedua-dua suspek dipercayai tekong darat itu ditangkap dalam dua operasi berasingan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi ‘Op Benteng’.
Beliau memberitahu, tangkapan pertama dilaporkan sekitar jam 3 pagi apabila anggota operasi melihat sebuah kereta mencurigakan yang bergerak menghala ke Serian.
“Kereta tersebut dari arah Jalan Mongkos menghala ke Serian dan telah ditahan anggota operasi untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati keret tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan di dalam kereta terdapat tiga warga Indonesia, termasuk dua wanita.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga warga asing terbabit yang berusia lingkungan 27 hingga 43 tahun didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Manakala, kejayaan kedua pula dilaporkan selepas itu apabila pasukan operasi bertindak menahan sebuah lagi kereta yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kereta tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan didapati membawa penumpang seorang lelaki dan wanita berusia 23 dan 27 tahun.
“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua penumpang terbabit merupakan warga Indonesia dan masing-masing tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya lagi.
Kesemua suspek termasuk warga asing terbabit kemudian ditahan di IPD Serian untuk siasatan lanjut.
“Suspek warga tempatan ditahan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) SOSMA 2012 dan disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007.
“Sementara enam warganegara Indonesia ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Tegas Aswandy juga, pihaknya akan terus membuat pemantauan di bawah undang-undang yang sedia ada keatas tekong-tekong darat yang terlibat penyeludupan migran. — DayakDaily