Dua sepupu antara 4 lelaki ditahan, disyaki curi gearbox lori

Empat suspek (duduk, barisan depan) ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri untuk siasatan lanjut.

By Brad Rantayy

MIRI, 3 Mac: Empat lelaki tempatan termasuk dua sepupu tidak sempat menikmati hasil daripada sebuah ‘gearbox’ lori yang dicuri, apabila mereka ditahan pihak polis hari ini untuk tindakan lanjut.

Tangkapan dilakukan pagi tadi sebaik sahaja pihak polis dimaklumkan mengenai kehilangan gearbox tersebut yang dianggarkan bernilai RM20,000.


Kesemua suspek berusia antara 30an sehingga 53 tahun itu ditahan berhampiran sebuah kedai di Taman Tunku sekitar jam 11.30 pagi.

Turut ditemui sebuah gearbox yang disyaki telah dicuri dari sebuah lori di kawasan Bakam semalam bersama resit jualan tertulis RM900.

Difahamkan, lori tersebut mengalami kerosakkan dan diparkirkan di berhadapan sebuah premis di Jalan Sim Kheng Hong, Bakam sementara menunggu untuk dibaiki.

Gearbox tersebut telah ditanggalkan dan diletakan dibawah kenderaan tersebut sementara menunggu untuk dibaik pulih, namun, sekitar jam 3 petang semalam, pemilik kenderaan mendapati ia telah hilang dan dipercayai telah dicuri.

Susulan kejadian tersebut, satu laporan polis telah dibuat.

Tangkapan telah disahkan Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily