Dua rumah terbakar di Muara Tabuan

Anggota Bomba bertungkus lumus memadam kebakaran.

KUCHING, 10 Nov: Dua keluarga terdiri daripada lima orang individu termasuk seorang kanak-kanak hilang tempat berteduh selepas rumah didiami mereka di Muara Tabuan Light Industrial Park, di sini musnah dalam kebakaran.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.24 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua buah rumah berstruktur tidak kekal.

“Rumah pertama yang didiami seorang lelaki dan wanita dewasa bersama seorang kanak-kanak telah terbakar 100 peratus, manakala rumah kedua didiami seorang lelaki dan wanita telah terbakar lima peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kebakaran tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa.

“Semasa kebakaran berlaku, kesemua penghuni tidak berada di rumah,” katanya.

Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 4.42 petang.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily